JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dengan neneknya melecur teruk selepas rumah mereka terbakar, dipercayai dilempar dengan bahan mudah terbakar, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 8:30 malam itu, Noridah Omar, 59, sedang menjaga cucunya, Nazerah Mohamad Haikal, sementara menunggu ibu bapanya pulang ke rumah di Kempas Baru.
Mohamad Haikal Tukiman, 32, mengesyaki kebakaran itu berpunca dari perbuatan khianat seseorang berdasarkan penemuan molotov koktel di tempat kejadian.
"Saya mengesyaki ini ada kaitan dengan seorang pelanggan saya yang baru-baru ini tidak berpuas hati keretanya masih belum siap dibaiki di bengkel milik saya sejak Julai lalu.
"Saya memang tiada musuh tetapi ada seorang pelanggan yang tidak berpuas hati dan menuduh saya sengaja melambat-lambatkan kerja pembaikan keretanya. Saya rasa lelaki itu ada kaitan dengan kebakaran yang terjadi ini," katanya semalam kepada wartawan Harian Metro.
Dedahnya lagi, pelanggan itu pernah memberitahu yang dia akan membakar keretanya sekiranya kereta lelaki itu masih belum siap dibaiki menjelang akhir September ini.
Isterinya, Norainnizah Mohamad, 25, bergegas pulang dari tempat kerja selepas menerima panggilan telefon berhubung kejadian yang menimpa anak perempuan dan ibu mertuanya.
“Saya terus ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan apabila tiba di unit rawatan rapi (ICU), anak saya diberi ubat pelali,” katanya. - THEHYPEMEDIA.COM