"Bukan Senang Cari Duit"
Baru-baru ini, saya singgah ke pejabat beliau. Dia kelihatan tertidur kepenatan di atas lantai setelah selesaikan menguruskan satu majlis 'Test Food' untuk sekumpulan pelanggan yang bakal mengadakan sebuah majlis gilang-gemilang di satu venue terkenal di ibu negara.
Dia, datang ke Kuala Lumpur dari kampungnya di Kedah, sebatang kara dengan hanya berbekalkan sijil berhenti sekolah untuk dijaja. Namun, kerana tidak mahu bergantung nasib pada majikan di negara ini yang meletakkan sijil sebagai keutamaan, dia nekad menjual roti canai.
Untuk itu, dengan berbekalkan RM70 dalam poket, dia pergi ke pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di The Mall (pada waktu itu) untuk menfaftar sebuah syarikat yang bertaraf 'Enterprise' sahaja.
Walaupun pada masa itu, ramai rakan-rakannya memandang sinis kerana merasakan tindakannya itu membuat duit mendaftarkan perniagaan (nak buka warung roti canai je kot?), namun dia percaya, jika mahukan keberkatan dalam perniagaan haruslah mengikut syarat dan peraturan.
Percaya atau tidak, dalam usianya yang baru mencecah 33 tahun, dia sudah mampu mengendalikan perniagaan katering untuk permintaan individu dan badan korporat.
Memang bukan mudah nak mencari duit, dia sampai tertidur di atas lantai, dalam kereta, kerana gigih mahu berjaya dalam perniagaan. Dia tiada pilihan, kerana itu saja resipi untuk berjaya, KERJA KERAS!
Semalam, saya nampak dia ada satu lagi sijil pendaftaran SSM. Saya tahu dia pasti baru buka sebuah lagi syarikat. Mungkin berkat sikapnya yang mahu berniaga mengikut saluran undang-undang dan peraturan, Allah permudahkan perjalanannya. Wallahualam.
Kredit - Syahril A. Kadir