Antara doa dan susu badan.
Buat para ibu, kenapa aku bersungguh-sungguh cerita tentang susu badan? Apa kaitannya antara doa dan usaha kalian? Kenapa aku tak setuju bila banyak beralasan dan tidak mencari jawapan?
Pernah tak kita berfikir, kenapa Allah memilih wanita untuk memikul tugas berat ini? Tugas mengandungkan manusia selama 9 bulan. Tugas berat proses melahirkan, iaitu kesakitan kedua selepas kematian dan seterusnya tugas menyusukan badan.
Pelik jika difikirkan, bukankah wanita ini dikatakan insan yang kudratnya lemah berbanding lelaki. Akalnya kurang berbanding nafsu mereka. Tapi Allah tetap pilih mereka untuk sudahkan tugas mulia ini?
Dan oleh sebab itu, Islam sangat mengangkat martabat wanita. Islam sangat menjaga hak dan kebajikan wanita kerana dari rahim mereka inilah lahirnya ulama-ulama muktabar, lahirnya tokoh-tokoh hebat, lahirnya pemberani-pemberani ummah, lahirnya nabi dan rasul, dan lahirnya insan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Tahniah kerana kalian juga seorang ibu.
Sebab itu, anak yang lahir itu bukan sekadar anak. Anak yang lahir itu amanah yang punya hak untuk diselesaikan.
Dan sebab itu juga, doa ibu itu mustajab. Doa ibu itu diangkat dan terangkat. Doa ibu itu senjata antara yang terkuat. Doa ibu itu kebahagiaan dunia dan akhirat.
Susu ibu itu asalnya darah badan si ibu kemudian ianya bertukar menjadi susu dan makanan buat si anak selama 2 tahun. Berapa gelenkah darah ibu mengalir dalam badan si anak selama 2 tahun? Getaran doa ibu itu berada secara alami dan semulajadi dalam batang tubuh si anak. Itulah yang menjadi pengikat kuat antara si ibu dan anak.
Ibu-ibu semua, kalian tak perlu jadi ustazah hebat. Tak perlu jadi doktor. Anak-anak tak perlukan semua itu dari ibu-ibu mereka. Sebabnya, anak cuma nak ibu-ibu meraka memadai untuk menjadi ibu selamanya.
Ya, doa kalian sebagai ibu. Sesudah habis 2 tahun tempoh penyusuan. Maka yang kekal berterusan adalah doa dan didikan kalian. Anak-anak perlukan ibu yang kuat. Mereka inginkan ibu yang hanya pasrah di hadapan Tuhan. Doakan kesejahteraan mereka.
Tatkala kalian menjadi ibu, 'pengorbanan' itu adalah mahar yang wajib kalian berikan buat anak.
Aku bukan nak mengajar kalian bagaimana menjadi ibu. Tetapi aku nak beritahu betapa hebat dan dahsyatnya seorang ibu. Dengan selafaz doa, terus diangkat pada Allah taala.
Oleh itu, jika hari ni kalian beralasan dengan anak, kita berlebih kurang dengan anak. Kalian rugi. Sebabnya kalian tak guna sepenuhnya ' kuasa ibu '.
Sebabnya, aku seorang ayah. Kami yang menjadi ayah tidak diberi kemuliaan dan kelebihan ini. Dalam bab anak, kelebihan itu terletak pada si ibu kerana kami para ayah tugasnya membimbing isteri kami dan menyiapkan isteri kami supaya isteri kami mempersiapkan zuriat dan anak-anak kami.
Ada banyak perkara yang ibu mampu lakukan tetapi ayah tidak mampu. Terima kasih para ibu pada zuriat-zuriat kami.
Inilah kenapa susu ibu itu kunci untuk permulaan dalam ilmu pendidikan anak-anak. Kalau di permulaan kita sudah beralasan, adakah selepas itu kita akan mencari jawapan?
Tepuk dada tanya iman.
Kepada ayah semua, ingat, hisab dosa dan pahala kita bukan penentu selamatnya kita. Sebab isteri dan anak itu amanah buat kita. Kalau kita gagal persiapkan mereka, maka bersedialah kita juga untuk gagal.
Aku menulis ini untuk ingatan diri aku dan kalian. Mudah-mudahan, catatan ini menjadi saksi di hadapan Tuhan, bahawasanya aku sentiasa mencari jawapan.
Sollu a'lannabi...
Kredit - Abu Hannah