Nama dia Ipeng, Tahun 1 Bestari. Ipeng dijaga oleh neneknya setelah kematian ibunya. Bapanya pula hilang tanpa khabar berita setelah kematian isterinya.
Ketika mengajar, pelajar diminta mengeluarkan buku teks. Tetapi Ipeng kata dia terlupa membawa buku teks. Aku maafkan.
Esok, diminta perkara yang sama dan dia berkata terlupa bawa. Walhal sudah aku pesan bawa buku teks itu setiap hari. Aku pada mulanya rasa ingin memarahinya namun tergerak hatiku untuk memeriksa beg Ipeng ini.
Bila aku mahu memeriksa begnya, Ya Allah, beg lusuh yang hampir koyak dipakai Ipeng. Hanya satu buku yang mampu dibawanya selama dua hari persekolahannya. Kalau bawa lebih dari satu, sudah tentu begnya akan terkoyak dan tidak dapat digunakan lagi.
"Ipeng, bila lagi kamu guna beg ini?" soal aku pada dia.
"Dari zaman Tadika Kemas lagi sir," jawabnya.
Bermakna sudah dua tahun dia menggunakan beg ini. Aku cuba menyelami kisahnya, ternyata amat menyedihkan hati.
Neneknya dahulu bekerja sebagai Tukang Sapu Sampah. Namun diberhentikan tidak lama kemudian, menjadikan dia tidak mempunyai kerja dan gaji untuk menyara cucu-cucunya.
Mula hari persekolahan, Ipeng meminta duit belanja tetapi neneknya tiada wang untuk Ipeng sebab abang Ipeng perlu duit belanja RM2 sehari sekurangnya untuk dibuat tambang pergi dan balik ke sekolah tanpa makan.
Syukurlah sekolahku semua murid berhak mendapat makan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) secara percuma. Tetapi naluri seorang budak bila melihat rakan-rakannya membeli, dia juga pasti teringin membeli.
Bila dia sedar yang dirinya tiada duit, selepas makan RMT, berkeliaranlah dia bermain dan berlari bersama kawannya yang lain sehingga waktu rehat tamat agar perasaan membeli itu tiada.
Aku panggil dia dan hulurkan sedikit duit dan terus dia pergi ke kantin untuk membeli makanan bersama rakannya yang lain. Dia beli keropok 30 sen saja.
"Kenapa tak beli Apollo tu? Kan banyak lagi duit itu?" soal aku pada Ipeng.
"Keropok ini pun dah cukup cikgu. Bakinya simpan untuk esok lagi," katanya.
Dalam hati aku hanya Allah saja yang tahu tetapi aku buat cool.
"Ipeng, jangan minta duit dari nenek lagi ye? Jangan minta nenek belikan beg baru ye, nanti kita sama-sama cari beg baru ye Ipeng," kataku pada dia. - Abdul Hafiz | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM sahaja.