Misao, 91, dan teman rapatnya, Fukumaru, pernah menjadi bualan seluruh dunia sejak gambar-gambar mereka dimuat naik ke media sosial.
Persahabatan di antara wanita Jepun dan kucing kesayangannya itu dirakam menggunakan lensa kamera menjadi buku yang paling laris dijual di Jepun dan viral di Amerika Syarikat.
Pada tahun 2003, seekor kucing liar melahirkan anaknya di sebuah bangsal di kawasan Misao Ihara. Anak kucing berwarna putih itu kemudiannya dibela sebagai haiwan peliharaan keluarga itu dan menjadi teman rapat Misao.
Menurut Little More Book, Misao menamakan kucing itu Fukumaru dengan harapan agar Dewa Fuku (Dewa Nasib) akan datang dan melancarkan kehidupan mereka.
12 tahun yang lalu, jurufoto Miyoko Ihara, 30, cucu kepada Misao yang tinggal bersama mula merakam gambar rutin seharian neneknya dan Fukumaru.
Walaupun usia pada ketika itu 88 tahun, Misao masih lagi keluar bekerja di kebunnya setiap hari ditemani dan dibandu oleh Fukumaru dalam mengerjakan rutin harian.
"Oleh kerana mereka berdua mempunyai masalah kurang pendengaran, nenek saya dan Fukumaru selalu memandang mata masing-masing. Mereka sangat rapat. Fukumaru sangat gembira apabila berada di sisi nenek saya. Bila saya merakam gambar mereka bersama, ianya seperti saya sedang merakam gambar diri saya ketika kecil," kata Miyoko pada Nippon.com.
Gambar-gambar keakraban mereka dijadikan sebagai buku, "Misao The Big Mama and Fukumaru The Cat".
"Apabila saya melihat cara nenek menjalani kehidupannya, saya rasa yang dia mempunyai semangat dan kekuatan yang tidak setanding dengan generasi saya pada masa ini. Dia bangun apabila matahari mula terbit, dan sebaliknya apabila matahari terbenam. Dia sangat menyayangi kucingnya dan kebun sayurnya seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Jika tanamannya memberikan hasil yang baik, dia gembira. Dia tidak perlu risau tentang soalan seperti, "Apa tujuan aku bekerja?". Cara hidupnya membuatkan saya kagum dan cemburu," kata Miyoko. - THEHYPEMEDIA.COM